Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my
img_46611

Hulu Langat: Arrouha Sports & Outdoors (ASO), pengeluar busur tradisional tempatan merancang menampilkan satu lagi rekaan busur diinspirasikan daripada busur empayar Korea pada Disember ini.

Pengasas Bersamanya, Mohd Zaironizam Daud berkata, pengeluaran pelbagai jenis busur oleh ASO mengikut kesesuaian cuaca Malaysia adalah tepat setanding perkembangan sukan memanah tempatan.

“Setakat ini, kami mempunyai empat jenis busur termasuk Jati Tunggal yang khusus untuk pemain baru, Lela Kenchana untuk kanak-kanak serta Anak Awan untuk orang dewasa.

“Busur ASO mempunyai keunikan tersendiri kerana ia diperbuat daripada kayu-kayan tempatan antaranya kayu Cengal, Resak, Nyatuh dan Balau hasil kemahiran kerja tangan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama kedua ASO, Muhammad Nazim Ab Ghani berkata, pihaknya sentiasa memastikan kualiti busur keluaran syarikatnya di mana setelah gentian kaca dan kayu disatukan menggunakan gam khas, busur perlu dibiarkan selama tiga hingga tujuh hari untuk memastikan pengeringan berlaku dengan sempurna.

“Busur Anak Awan yang dihasilkan daripada gentian kaca mempunyai reka bentuk khusus untuk pemanah berkuda, Lela Kenchana yang ringan dan mempunyai corak warna menarik sesuai untuk kanak-kanak berusia seawal empat tahun manakala Jati Tunggal dengan reka bentuk moden pula didatangkan dengan ciri ringan, lasak dan berwarna-warni.

“Dengan kepelbagaian busur yang ditampilkan, kami menyasarkan penjualan busur tersebut berada dalam pasaran Malaysia dan luar negara sebelum akhir tahun,” katanya.

Sementara itu, Mas Ilmi Masri yang turut merangkap Pengasas Bersama ASO berkata, pihaknya merancang memasarkan busur keluaran ASO ke beberapa negara lain termasuk Indonesia dan Thailand sebelum penghujung tahun ini.

“Bagi menampung permintaan tinggi, kami berhasrat berpindah ke kilang lebih besar dengan keluasan 3,200 kaki persegi berbanding 900 kaki persegi untuk menghasilkan 3,000 unit busur dalam tempoh seminggu berbanding 500 unit untuk saiz kedai sedia ada.

“Busur kami yang dijual pada harga mampu milik bernilai antara RM160 sehingga RM590 boleh dibeli secara terus di bilik pameran kami mahupun menerusi laman sosial Facebook Arrouha Sports and Outdoors,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 7:12 AM
IMG_4357[1].PNG

contactUs

Advertisements